Tuesday 5 July 2011

kembara seorang lelaki episod 2

Sudah seminggu aku bekerja sebagai pembantu di gerai makan. Gembira rasanya dapat pengalaman baru seperti ini. Pelanggan-pelanggan tetap gerai bosku juga sudah mengenali aku. Dari tukang cuci, aku sudah pandai ambil tempahan makanan dan yang paling seronok bos dah percaya kepadaku untuk menyiapkan minuman pelanggan.

Malam ini aku duduk di bawah pokok rambutan di hadapan rumah sewaku. Aku tinggal bersama dua lagi pekerja gerai iaitu Ali dan Mamat. Mereka juga sudah begitu mesra denganku. Entah kemana mereka pergi malam ni tak nampak rupa.

Aku teringat zaman persekolahanku. Sebenarnya aku tidaklah sebodoh mana. Boleh dikatakan antara pelajar yang bijak pandai. Guru-guru juga amat sayang kepadaku. Malangnya takdir Tuhan menyebabkan aku gagal di dalam peperiksaan yang paling penting di Negara yang tercinta ini. Seminggu sebelum peperiksaan aku menjadi mangsa langgar lari ketika cuba menjadi hero menyelamatkan seorang makcik yang diragut. Tangan kananku patah. Walaupun perbuatanku itu boleh dikira amat mulia, namun bapaku amat marah dan membebel 3 hari 3 malam. Disebabkan tanganku patah, aku tak dapat menduduki peperiksaan yang amat penting itu. Takkan nak tulis jawapan dengan kaki kan..

Disebabkan kemiskinan juga aku tak dapat pergi ke sekolah lagi untuk menduduki peperiksaan pada tahun ini. Aku sedar kemarahan bapaku bersebab. Sia-sia saja dia menanggung makan minumku, beri wang belanja sekolah, bayar yuran itu yuran ini, akhirnya aku tak menduduki peperiksaan yang terpenting itu. Aku tak berani nak menyuarakan hasrat untuk bersekolah lagi setahun memandangkan masih ramai adikku yang perlu bersekolah. Biarlah aku meneruskan kehidupan ini.. biarlah aku mengikut angin.. ke kanan angin bertiup, ke kananlah aku.. ke kiri angin bertiup, ke kirilah aku.. Takdir ini jugalah yang menyebabkan aku sampai ke Bandaraya Kuala Lumpur yang gah ini... (bersambung)

No comments:

Post a Comment