Thursday 28 July 2011

kembara seorang lelaki (episod 3)

Bulan Ramadhan kian hampir.. Abang Din datang menemuiku..mukanya agak pucat dan seperti orang yang serba salah.. Dia menghampiri aku dan duduk bersama di bawah pokok rambutan..Hampir dua tiga minit dia masih membisu seolah-olah sedang menyusun ayat...

"Ada apa Bang Din?" aku memulakan bicara melihat Abang Din masih membisu.

"errr...hmm.. Sebenarnya ada hal penting abang nak cakap ni..tapi abang macam serba salah nak cakap dekat awak.."

Kami berdua terdiam. Aku gelisah menanti ayat-ayat seterusnya dari mulut abang Din. Seolah-olah ada berita buruk yang ingin dia khabarkan kepada aku.

"Apa perkara tu bang? Cakap ajelah. "
"Sebenarnya bermula bulan puasa nanti, abang bercadang nak tutup kedai makan tu. Abang nak balik kampung dan memulakan perniagaan di sana pulak. Orang tua abang dah uzur. Mereka minta abang balik kampung menjaga mereka. Abang pun dah dapat tapak nak buka kedai makan kat area kampung abang sana. Dan kedai kita sekarang tu abang dah jual dekat seorang lelaki India Muslim. Mungkin akan jadi Kedai Mamak lepas ni." Abang Din bercakap berterus terang dengan suara yang tersekat-sekat..

Aku tertunduk.. Nampaknya aku sudah nampak nasib tidak menyebelahi aku lagi..

"Maksudnya saya dan kawan-kawan akan diberhentikan kerja?" Aku bertanya dengan suara yang lemah..

"Abang minta maaf.. perniagaan abang di Kuala Lumpur ini sangat baik. Untung pun sangat banyak.. tapi bila orang tua buat permintaan, tak mungkin abang dapat menolak. Lagipun abang ni satu-satunya anak lelaki dalam keluarga abang. Awak pergilah minta kerja di tempat lain. Abang akan tetap bayar gaji kamu semua sampai sebelum puasa ni. Rumah sewa ni pun kamu semua boleh menetap sampai hujun bulan ni saja. Itu saja yang abang nak cakapkan dengan kamu."

Aku tertunduk. Air mata yang hampir keluar masih kutahan. Abang Din bangun meninggalkan kerusi dan pulang ke rumahnya. Aku termenung merenung bulan. Kemanakah lagi hala tujuku selepas ini? Apakah nasibku akan lebih baik atau menjadi manusia yang bernasib paling malang di dunia? ...Aku berdoa kepada Allah agar mendapat takdir yang baik.. (bersambung)

Tuesday 5 July 2011

kembara seorang lelaki episod 2

Sudah seminggu aku bekerja sebagai pembantu di gerai makan. Gembira rasanya dapat pengalaman baru seperti ini. Pelanggan-pelanggan tetap gerai bosku juga sudah mengenali aku. Dari tukang cuci, aku sudah pandai ambil tempahan makanan dan yang paling seronok bos dah percaya kepadaku untuk menyiapkan minuman pelanggan.

Malam ini aku duduk di bawah pokok rambutan di hadapan rumah sewaku. Aku tinggal bersama dua lagi pekerja gerai iaitu Ali dan Mamat. Mereka juga sudah begitu mesra denganku. Entah kemana mereka pergi malam ni tak nampak rupa.

Aku teringat zaman persekolahanku. Sebenarnya aku tidaklah sebodoh mana. Boleh dikatakan antara pelajar yang bijak pandai. Guru-guru juga amat sayang kepadaku. Malangnya takdir Tuhan menyebabkan aku gagal di dalam peperiksaan yang paling penting di Negara yang tercinta ini. Seminggu sebelum peperiksaan aku menjadi mangsa langgar lari ketika cuba menjadi hero menyelamatkan seorang makcik yang diragut. Tangan kananku patah. Walaupun perbuatanku itu boleh dikira amat mulia, namun bapaku amat marah dan membebel 3 hari 3 malam. Disebabkan tanganku patah, aku tak dapat menduduki peperiksaan yang amat penting itu. Takkan nak tulis jawapan dengan kaki kan..

Disebabkan kemiskinan juga aku tak dapat pergi ke sekolah lagi untuk menduduki peperiksaan pada tahun ini. Aku sedar kemarahan bapaku bersebab. Sia-sia saja dia menanggung makan minumku, beri wang belanja sekolah, bayar yuran itu yuran ini, akhirnya aku tak menduduki peperiksaan yang terpenting itu. Aku tak berani nak menyuarakan hasrat untuk bersekolah lagi setahun memandangkan masih ramai adikku yang perlu bersekolah. Biarlah aku meneruskan kehidupan ini.. biarlah aku mengikut angin.. ke kanan angin bertiup, ke kananlah aku.. ke kiri angin bertiup, ke kirilah aku.. Takdir ini jugalah yang menyebabkan aku sampai ke Bandaraya Kuala Lumpur yang gah ini... (bersambung)